Monday, August 5, 2013

Program Mesra Rakyat Daerah Hulu Perak Jadi Medan Luahan Masalah Rakyat

HULU PERAK, 22 Jun 2013 – Biro Pengaduan Awam Negeri Perak telah menganjurkan Program Mesra Rakyat (MESRA) di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik mulai jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Perak bertujuan memberikan ruang kepada penduduk tempatan untuk berinteraksi secara terus dan telus dengan Ketua-ketua Jabatan kerajaan dalam program berkenaan.
 
Turut dianjurkan, Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) di perkarangan luar Dewan Serbaguna tersebut sebagai peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan bertanya soalan semasa Majlis Sesi Dialog untuk membuat aduan terus kepada jabatan/ agensi yang membuka kaunter. Ia juga membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peranan dan perkhidmatan yang disediakan jabatan/ agensi tersebut.
 
Program ini telah dirasmikan oleh YB Ahli Parlimen Gerik, Dato’ Haji Hasbullah Bin Osman. Seramai 20 orang Ketua Jabatan telah hadir sebagai Ahli Panel untuk Majlis Sesi Dialog dan sebanyak 28 Jabatan/Agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri serta swasta telah turut serta dalam pembukaan Kaunter Aduan dan Pameran.
 
Program MESRA ini telah berjaya menarik hampir 280 orang pengunjung yang terdiri daripada wakil-wakil agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan serta orang awam.
 
Majlis Sesi Dialog telah mendapat sambutan hangat dari pengunjung yang hadir, di mana sebanyak 28 soalan telah diajukan kepada Ahli Panel sepanjang tempoh dua jam Sesi Dialog ini berlangsung (10.30 pagi – 12.30 tengah hari). Program KABB pula telah merekodkan sebanyak 19 kes Aduan dari orang awam dan 2 kes Khidmat Nasihat. Petugas kaunter juga dilihat bersungguh-sungguh menghias kaunter jabatan masing-masing bagi merebut Anugerah Kaunter Aduan dan Pameran Terbaik yang menjadi acara wajib setiap kali BPA Negeri Perak menganjurkan Program KABB. Bagi Anugerah Kaunter Aduan dan Pameran Terbaik ini, tempat pertama telah dimenangi oleh Majlis Daerah Gerik, diikuti Lembaga Air Perak manakala tempat ketiga jatuh kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Perak.
 
Walau pun Program MESRA memberi fokus kepada penerimaan aduan semasa Majlis Sesi Dialog dan KABB pula memberi fokus kepada penerimaan aduan di kaunter, namun terdapat juga beberapa aktiviti sampingan lain yang diadakan bagi menarik perhatian pengunjung. Antaranya adalah Kempen Derma Darah oleh Unit Tabung Darah Hospital Gerik, Pemeriksaan Kesihatan Percuma oleh Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Perak, Pendaftaran Sukarelawan Askar Wataniah oleh Rejimen Askar Wataniah Kem 503 dan Pertandingan Kuiz di mana soalannya berkisar tentang Daerah Hulu Perak. Sebanyak 10 hadiah telah disediakan untuk pertandingan Kuiz berkenaan, di mana hadiah tersebut ditaja oleh Kelab Pejabat Tanah dan Daerah (PETANDA).


 
 

No comments:

Post a Comment