Friday, March 8, 2013

KABB LANGKAWI, KABB PERTAMA TAHUN 2013



LANGKAWI, 28 Februari 2013 – Biro Pengaduan Awam (BPA) Negeri Pulau Pinang/Kedah/Perlis telah menganjurkan Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) yang pertama bagi tahun 2013 bertempat di Kompleks Pekan Rabu hari ini. Program KABB ini adalah anjuran bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah berjaya menarik 352 orang pengunjung.

Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Tan Sri Khalid Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif LADA dan turut hadir ke program ini adalah Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, YBhg. Datin Mahani Tan Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA, Tuan Haji Hanaffi  Ahmad.

Program KABB kali ini turut diisi dengan sesi taklimat ringkas oleh jabatan di Langkawi. Kali ini, dua lagi jabatan telah dijemput iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Tenaga Kerja untuk memberikan taklimat kepada pengunjung yang hadir. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang ini telah menerima 38 aduan dan 10 khidmat nasihat telah diberikan kepada pengunjung.

Sebanyak 34 agensi telah membuka kaunter dan antara agensi yang menerima aduan tertinggi ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Laut, Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Pertandingan Kaunter Tercantik turut diadakan dan hadiah telah disampaikan oleh Pengarah BPA Negeri Pulau Pinang/Kedah/Perlis. 5 kaunter yang terpilih menjadi kaunter tercantik adalah Jabatan Kastam, Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Langkawi, Akademi Koreksional Langkawi dan Tenaga Nasional Berhad.














No comments:

Post a Comment