PM RASMI
PEJABAT BPA DI UTC PAHANG
KUANTAN,
11 APRIL 2013
– YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri telah
merasmikan Pejabat Biro Pengaduan Awam (BPA) di Pusat Transformasi Bandar (UTC)
Pahang hari ini. Perdana Menteri dalam majlis perasmian itu turut mengumumkan
bangunan Terminal Makmur itu ditukar nama kepada UTC Pahang.
Kira-kira 30,000 orang
hadir menyaksikan perasmian bangunan itu yang melibatkan kos keseluruhan
sebanyak RM37 juta. UTC Pahang menempatkan 67 jabatan kerajaan dan 52 premis
perniagaan termasuk Tabung Haji, Agro Bank dan SME Bank. UTC Pahang beroperasi
mulai pukul 8.30 pagi hingga pukul 10 malam dan dibuka setiap hari termasuk
cuti hujung minggu.
Perdana Menteri dalam
ucapan perasmiannya berkata, falsafah di sebalik kewujudan UTC bertujuan
memenuhi tiga kriteria utama. Pertama katanya, mesti pantas pelaksanaannya dan
kedua mesti satu projek yang dilakukan dengan perbelanjaan minimum.
"Ketiga, perlu memberi
kesan dan impak besar kepada rakyat, saya ingin nyatakan UTC ini pasti akan
beri kesenangan kepada rakyat dan yang paling besar pusat ini dibuka tiap-tiap
hari, tujuh hari seminggu," katanya. Kebanyakan pengunjung yang hadir turut
menyatakan rasa syukur dan terharu dengan inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan.
Bagi Datin Mahani Tan
Abdullah, Ketua Pengarah BPA perpindahan Pejabat BPA ke UTC Pahang akan menjadi
pemangkin kepada suasana kerja yang baru dan akan memberi lebih motivasi kepada warga BPA untuk bekerja dengan gigih
dan bersungguh sungguh.
Beliau juga mengucapkan syabas
dan tahniah kepada BPA Pahang kerana telah menerima cabaran berfikir di luar kotak
dan sedia bertukar daripada premis kerja yang tradisional kepada yang lebih
progresif sesuai dengan situasi semasa. Upacara perasmian oleh YAB Perdana
Menteri ini telah menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih gigih,
khususnya di kalangan warga BPA Pahang dan seluruh warga kerja BPA amnya untuk
mencapai kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan.
No comments:
Post a Comment